Friday, January 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shah Firdaus punya peranan raih emas

    KUALA LUMPUR, 5 JULAI – Nama atlet berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, mungkin tidak sepopular seniornya Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang pernah memegang status juara dunia keirin menjelang misi besar kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

    Namun, tidak dinafikan atlet kelahiran Johor berusia 28 tahun itu mempunyai peranan penting dalam misi skuad berbasikal trek untuk memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia.

    Semua sedia maklum, Mohd Azizulhasni yang akan membuat penampilan kelimanya di Olimpik, bercita-cita menamatkan penantian pingat emas pertama rakyat Malaysia di Paris selepas meraih gangsa dan perak dalam acara keirin masing-masing ketika edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.

    Bagi merealisasikan impian murni tersebut, The Pocket Rocketman amat memerlukan Muhammad Shah Firdaus yang beliau berikan julukan The Terminator kerana semangat kental pelumba pelapisnya itu, untuk mengiringinya sejauh mungkin.

    Ini kerana kehadiran pemenang pingat gangsa keirin dan pecut di Sukan Asia Hangzhou 2022 itu dapat mempelbagaikan lagi strategi kem negara terutama dalam aksi final yang penuh dengan ‘muslihat’ daripada pihak lawan.

    “Harapan inilah masanya (menang emas), sebelum ini kita dah menang gangsa dan perak.

    “Kita belajar daripada situasi di Tokyo 2020 lepas, kita kena sentiasa bersedia dengan benda-benda yang di luar kotak (muslihat lawan), tapi kita ada perancangan untuk menang emas dan harapan Shah juga dapat masuk ke final dengan saya,” kata Mohd Azizulhasni kepada Bernama. – Bernama

    Shah Firdaus semasa sidang media pada majlis minum petang bersama tiga pelumba basikal trek negara yang layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Bukit Tunku pada 5 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda