KUALA LUMPUR, 28 MAC – Selepas sedekad menyambut Aidilfitri di perantauan dek kerana tuntutan kerjaya, pelumba basikal trek Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, akhirnya berpeluang pulang ke kampung halaman di Muar, Johor tahun ini untuk merasai semula kemeriahan lebaran bersama keluarga.
Namun kepulangan pemenang emas keirin Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Konya, Turkiye baru-baru ini, hadir dengan perasaan yang sukar digambarkan, seakan janggal untuk kembali berada dalam kemeriahan Aidilfitri di tanah air setelah sekian lama.
“Selalu tak beraya, bila dapat beraya rasa macam pelik tapi keluarga semua gembira sebab sudah lama tak beraya bersama di rumah. Kita pun tak tahu bagaimana tahun hadapan sebab dah mula berlatih semula, jadi memang tak sabar balik kampung nak menikmati masakan ibu.
“…tak sabar nak rasa kuah lodeh, ayam masak merah, daging kari dan banyak lagi. Bila cakap macam ini pun saya dah boleh bayangkan rasanya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Pelumba berusia 29 tahun itu mengakui Ramadan kali ini memberinya pengalaman berbeza apabila seakan ‘gila’ berbelanja dengan memborong pelbagai juadah di bazar Ramadan.
Teruja dengan kepelbagaian pilihan makanan, beliau turut membandingkan suasana di Malaysia dengan Australia iaitu lokasi latihannya, Nilai, dengan menyatakan bazar Ramadan di tanah air jauh lebih besar berbanding di luar negara. – Bernama
