Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Pasukan Shah United FC berjaya menamatkan rekod bersih pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dengan kemenangan 6-4 dalam Kejohanan Liga Futsal Elit Brunei (BEFL) 2024/25 yang berlangsung di Dewan Serba guna Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
Shah United FC yang mengikat dua pemain import dari Thailand menjadi nadi utama dalam memantapkan skuad kendalian Pengiran Asrul Asdynee Pengiran Shadon yang mencipta kemenangan manis ke atas MS ABDB.
Pemain lincah, Abdul Khabiir bin Haji Ismail berjaya membolosi pertahanan kental MS ABDB pada minit ke-7, diikuti jaringan susulan oleh Ridwan Awabuese beberapa saat kemudian untuk menjadikan MS ABDB tergamam dengan ketinggalan 0-2.
Permainan Shah United FC semakin ligat mengatur serangan menerusi set pieces menarik yang berhasil menambah jaringan pada minit ke-11 menerusi Abdul Hadi Azhar bin Haji Abdul Lamit yang memanfaatkan peluang di depan gawang untuk menambah jaringan.
MS ABDB berusaha mencari rentak tetapi masih gagal mengekang serangan Shah United FC, apabila Abdul Khabiir sekali lagi menemui sentuhan jaringan yang menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-23.
Namun, MS ABDB mula bangkit selepas jaringan semangat daripada Abdul Malik Yunus pada minit ke-28. Dua jaringan pantas menyusul berselang seminit, menerusi Awangku Mohd Jumatatul Aleshahmezan dan Mohammad Izzan Zamain yang berjaya merapatkan kedudukan.
Tidak lama kemudian, Mohamad Asyrol Rafiuddin Asmadi menyamakan kedudukan 4-4 pada minit ke-38 untuk menjadikan pertemuan terus sengit dan mendebarkan.
Shah United FC bagaimanapun kembali menyinar di akhir babak perlawanan menerusi dua gol hasil jaringan Faisal Muso dan Muhammad Fithratul Rahman Ratno untuk menamatkan perlawanan dengan kedudukan muktamad 6-4.