Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shah United kecewakan Almerez Hitune

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Pasukan Shah United berjaya menafikan hajat tinggi pasukan Almerez Hitune FC dalam satu perlawanan penuh dramatik, apabila mencipta kemenangan tipis 7-5 dalam saingan Liga Futsal Elit Brunei 2024-2025 (BEFL) yang berlangsung di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    “Pemain-pemain berjaya bangkit pada babak kedua dengan tahap kecergasan yang tinggi.

    Ia banyak membantu dalam melancarkan serangan bertali arus yang akhirnya menghasilkan jaringan kemenangan,” jelas ketua jurulatih Shah United, Pengiran Asrul Asdynee bin Pengiran Sahdon.

    Beliau turut mengakui gandingan pemain import dari Thailand, Faisol Muso dan Ridwan Awaebuesa, telah berjaya mencorak permainan secara teknikal dengan amat berkesan.

    “Kami akan terus memberikan fokus terhadap perlawanan seterusnya bagi memastikan baki perlawanan tidak tercicir, demi memburu kedudukan terbaik dalam carta BEFL,” tambahnya.

    ATAS & BAWAH: Antara aksi pasukan Shah United menentang pasukan Almerez Hitune di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. – GAMBAR SERAHAN BEFL
    GAMBAR SERAHAN BEFL

    Pasukan Almerez Hitune FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi asakan dalam kotak penalti oleh Muhammad Iqbal Pasaribu pada minit ke-5. Namun, Abdul Khabiir bin Haji Ismail pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-9.

    Pemain muda, Awangku Mohd Amirul Haziq bin Pengiran Kamshulzaman kembali meletakkan Almerez Hitune FC di hadapan dengan jaringan pada minit ke-16.

    Dua minit kemudian, Muhammad Iqbal sekali lagi menambah jaringan untuk membawa kedudukan kepada 3-1.

    Babak kedua menyaksikan aksi semakin rancak apabila Khalil Saad dan Awangku Mohd Amirul Haziq masing-masing meledakkan gol ke gawang lawan masing-masing.

    Pasukan Almerez Hitune FC sempat bernafas lega apabila Haji Muhd Zainol Ariffin Hassan menjaringkan gol pada minit ke-33, menjadikan kedudukan semakin sengit.

    Namun begitu, jaringan hatrik daripada pemain import Thailand, Ridwan Awaebuesa pada minit ke-34, 35 dan 38 membolehkan Shah United melakar kemenangan dramatik 7-5.

    Kejayaan Shah United itu telah merancakkan lagi saingan kejuaraan, yang kini berada dalam kelompok empat terbaik liga.

    Sebaliknya, kekalahan mengecewakan bagi Almerez Hitune FC yang kekal di tangga kedua dengan 24 mata, bersaing rapat dengan Kampung Buangkok FC yang hanya dipisahkan melalui perbezaan jaringan.

    Kekalahan Almerez Hitune FC juga membuka peluang cerah buat pasukan Kasuka Ar Rawda untuk selangkah lebih dekat menjulang Piala Liga BEFL 2024-2025 dengan hanya berbaki tiga perlawanan.

    Sementara itu, Almerez Hitune FC dan Kampung Buangkok FC masing-masing mengumpul 24 mata, manakala Shah United kini mengutip 21 mata.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda