Monday, November 25, 2024
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shah United tumpaskan DDT FC dalam BEFL

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Pasukan Shah United semakin garang di pentas Brunei Elit Futsal League 2024/25 apabila berjaya naik ke tangga kedua dalam liga selepas menafikan saingan daripada pasukan DDT FC di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Berakas kelmarin.

    Skuad didikan Pengiran Asrul Asdynee Pengiran Shadon itu semakin menyerlah dengan aksi-aksi menarik oleh ramai bekas pemain kebangsaan sambil dimantapkan lagi dengan aksi dua pemain import dari Thailand.

    Ridwan Awaebuesa tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan sulung untuk pasukan Shah United menerusi kuisan menarik di minit ke-4 tetapi Muhd Nur Syazwan Halidi bijak melenyapkan keceriaan barisan bangku panjang Shah United apabila menyamakan kedudukan 1-1 pada minit perlawanan yang sama.

    Perlawanan semakin rancak apabila pemain tinggi lampai, Faiso Muso pula berjaya membolosi gawang DDT FC menerusi rembatan kencang di minit ke-8 dan Khalil Saab berjaya mengembalikan rentak pantas Shah United dengan jaringan di minit ke-16.

    Kemudian, Faisol Muso sekali lagi tidak melepaskan peluang terhidang seminit memasuki babak kedua dan Junaidi Jumat turut mencuri perhatian selaku penyumbang jaringan buat pasukan Shah United di minit ke-25.

    Sekalipun ketinggalan jaringan, pasukan DDT FC tidak berputus asa dan Muhd Nur Syazwan Halidi berjaya menambah 2 jaringan pada minit akhir perlawanan namun sentuhan jaringan hatrik itu sudah terlambat buat pasukan dari daerah Permata Hijau itu untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

    Kemenangan pasukan Shah United itu meletakkan mereka di tangga kedua carta BEFL dengan kelebihan jumlah jaringan dengan pasukan pendahulu liga, Kasuka Ar Rawda yang juga mengutip 9 mata.

    Atas & Bawah: Antara aksi dalam perlawanan futsal berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda