Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shahrel akui sukar rebut tempat

    KUALA LUMPUR, 28 JUN – Penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menyifatkan keberkesanan jentera serangan skuad kebangsaan Malaysia ketika ini menyukarkan beliau mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Oktober depan.

    Beliau berkata penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad dan penyerang berpengalaman Norsharul Idlan Talaha selain pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh telah memainkan tanggungjawab dengan baik selaku penggempur skuad kebangsaan.

    Namun, pemain berusia 25 tahun itu enggan berputus asa dalam merebut tempat sebagai penyerang utama skuad negara apabila berazam meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Super musim ini sekali gus mencerahkan peluang menyarung kembali jersi Harimau Malaya.

    “Saya memang nak (beraksi) kerana saya sentiasa ingingkan yang terbaik untuk pasukan negara, tetapi dengan sumbangan positif diberikan Syafiq Ahmad, Sumareh dan Matyo (Norshahrul) memang agak sukar untuk saya dapat masuk dalam pasukan.

    “Ditambah dengan keadaan situasi selepas COVID-19, kita tidak tahu perkembangan setiap pemain jadi saya tidak boleh agak jika saya akan disenaraikan nanti. Sekarang fokus saya terus lakukan yang terbaik dalam latihan dan bantu Perak raih kejayaan musim ini,” katanya kepada Bernama. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda