Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Shahril bawa pulang dua pingat

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Atlet Brunei, Shahril Haji Abdul Muin memenangi satu pingat perak dan gangsa untuk kategori umur 45-49 tahun dalam pertandingan Spartan Ultra Trifecta Weekend di Timberland Heights, Rizal, Filipina, baru-baru ini.

    Atlet tersebut mencatatkan masa 5 jam 23 minit 26 saat dalam acara Beast (21 kilometer dengan 30 halangan), di belakang atlet pilihan tuan rumah, Thumbie Remigio yang memenangi pingat emas, dan di hadapan pemenang pingat gangsa, Taewoo Kim dari Korea Selatan.

    Shahril juga memastikan dia tamat dengan mendapat podium dalam acara Super (10 kilometer dengan 25 halangan) selepas mencatatkan masa 2 jam 38 minit 14 saat dengan emas dimenangi oleh Thumbie Remigio, manakala perak dimenangi oleh rakan senegaranya, Telesteophil Morales.

    Ini merupakan pencapaian terbaiknya selepas memenangi tempat keempat di Sarawak, dan kedudukan 10 teratas di Thailand.

    “Laluan kali ini sangat ganas dan mencabar. Tetapi, segala kerja keras, ketabahan, sokongan daripada pasukan terutamanya Team Aroo, serta latihan yang saya lalui, telah menunjukkan hasil yang berbaloi,” jelasnya.

    Selain Shahril, atlet Brunei lain yang bertanding dalam ketiga-tiga acara Beast 21km, Super 10km, dan Sprint 5km ialah Haji Khairul Firdauz, Glen Chong dan Zainal Arif Zainal Abidin.

    Manakala Muhd Badrul Nurehsan bertanding dalam acara Super dan Sprint, Ariff Majid dalam acara Beast dan Sprint, serta Aki Yahya dalam acara Sprint.

    Spartan Filipina dikenali sebagai salah satu edisi yang paling mencabar di Asia. Ini terbukti apabila sebahagian peserta tidak dapat melengkapkan cabaran dalam acara Ultra dan Beast.

    Hampir 2,000 peserta mengambil bahagian pada edisi kali ini yang terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun, Thailand, dan tuan rumah, Filipina.

    Gambar ramai atlet Spartan Brunei bersama pingat yang dimenangi mereka. – Gambar serahan Team Aroo
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...