Shakira akan menerima Anugerah Video Vanguard pada Anugerah Muzik Video MTV 2023 bulan depan.
Penerima sebelum ini termasuk Beyonce, Nicki Minaj, Madonna, Janet Jackson, Jennifer Lopez, Rihanna dan Missy Elliott.
Dia juga akan membuat persembahan di pentas VMA buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun.
Penyanyi Colombia itu telah memenangi empat VMA sepanjang kerjayanya, bermula dengan kemenangannya dalam Pilihan Penonton Antarabangsa (Amerika Latin Utara) pada tahun 2000.
Tahun ini, dia dicalonkan untuk empat anugerah: artis tahun ini, kolaborasi terbaik (untuk ‘XQG,’ dengan Karol G) dan dua pencalonan dalam kategori Latin terbaik – untuk kolaborasi bersama Karol G dan untuk single solonya, Acrostico.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P17-d-laopinioncom_31082023.jpg)
“Shakira merupakan kekuatan global sejati yang terus memberi inspirasi dan mempengaruhi orang ramai dengan kehebatan muziknya yang unik.
Dia merupakan pelopor untuk wanita di seluruh dunia dan salah seorang artis pertama yang menerajui globalisasi muzik Latin,” kata Bruce Gillmer, ketua pegawai kandungan muzik di Paramount+ dan presiden muzik, bakat muzik, pengaturcaraan dan acara di Paramount.
“Kesan impak besar merentasi landskap muzik akan berkekalan kerana dia terus mencipta dan menghibur di peringkat tertinggi.”
Taylor Swift mendominasi pencalonan Anugerah Video Muzik MTV 2023. Dia memimpin dengan lapan pencalonan iaitu tujuh untuk video muzik Anti-Hero dan satu pencalonan dalam kategori artis tahun ini dan diikuti oleh SZA, yang mempunyai enam pencalonan.
VMAs akan diadakan di Pusat Prudential di Newark, New Jersey pada 12 September. – Agensi