Mahkamah Sepanyol baru-baru ini berkata ia telah membuka siasatan baharu terhadap bintang muzik Colombia, Shakira atas dakwaan penipuan cukai pendapatan.
Penyanyi berusia 46 tahun yang terkenal dengan lagu Hips don’t Lie itu sudah dijadualkan untuk dihadapkan ke mahkamah pada akhir tahun ini di Sepanyol atas tuduhan gagal membayar cukai sebanyak 14.5 juta euro (AS$16.3 juta) ke atas pendapatan yang diperoleh antara 2012 dan 2014.
Kini, mahkamah di bandar timur laut Esplugues de Llobregat dekat Barcelona berkata ia telah bersetuju dengan pendakwa raya untuk menyiasat dua kemungkinan kes penipuan cukai oleh Shakira dari 2018.
Mahkamah tidak memberikan butiran lanjut dalam kenyataannya.
Pendakwa raya telah meminta hukuman lapan tahun penjara dan denda 24 juta euro dalam kes pertama selepas Shakira menolak perjanjian tawaran bagi tuduhan mengelak cukai.
Kes itu berkaitan dengan tempat penyanyi itu tinggal antara 2012 dan 2014.
Pendakwa raya berkata Shakira berpindah ke Sepanyol pada 2011 apabila hubungannya dengan pemain pertahanan FC Barcelona, Gerard Pique diketahui umum, tetapi mengekalkan tempat kediaman cukai rasmi di Bahamas sehingga 2015.
Peguam Shakira telah berkata bahawa sehingga 2014, dia memperoleh sebahagian besar pendapatannya daripada lawatan antarabangsa dan berpindah ke Sepanyol sepenuh masa hanya pada 2015, dan telah memenuhi semua kewajipan cukainya. – AFP