SHANGHAI, 31 MEI – Pihak berkuasa Shanghai hari ini mengatakan ia akan membatalkan lebih banyak sekatan dalam usaha mengembalikan bandar dibelenggu COVID itu seperti sedia kala, dua bulan selepas dikenakan sekatan yang menjerut perniagaan dan mengurung penduduknya.
Hab komersial 25 juta penduduk itu ditutup dalam berfasa bermula lewat Mac apabila varian Omicron melanda China, dalam penularan terburuk sejak virus pertama kali muncul di negara itu hujung tahun 2019.
China terikat dengan strategi sifar COVID yang mengenakan langkah ketat seperti perintah berkurung, saringan besar-besaran dan tempoh kuarantin yang panjang untuk menghapuskan kluster-kluster jangkitan.
Namun selepas beransur-ansur melonggarkan beberapa peraturan dalam masa beberapa minggu kebelakangan ini, pegawai hari ini mengatakan bahawa penduduk tinggal di kawasan dianggap berisiko rendah akan dibenarkan bergerak bebas di bandar itu, satu langkah besar ke arah menamatkan sekatan.
Sekatan akan dilonggarkan ke atas sekitar 22 juta penduduknya, timbalan datuk bandar Zong Min memberitahu wartawan.
“Bermula 1 Jun, bandar ini akan melangkah ke fasa ketiga iaitu fasa yang memulihkan sepenuhnya operasi normal dan peraturan kehidupan bandar,” kata Zong. Kompleks membeli-belah, farmasi dan salon kecantikan akan dibenarkan beroperasi pada 75 peratus kapasiti, manakala taman dan kawasan indah lain akan dibuka beransur-ansur,” tambahnya.
Media tempatan turut menunjukkan pekerja membuka beberapa pengadang berwarna oren yang diletakkan di daerah-daerah seluruh bandar itu selama berminggu-minggu.
Pegawai Shanghai, Wu Qing turut memaklumkan wartawan Ahad lalu, bahawa bandar itu akan ‘menghapuskan sekatan tidak berasas’ dan mengumumkan beberapa langkah untuk mempertingkatkan ekonomi Shanghai yang terjejas oleh virus. – AFP
