SINGAPURA, 3 SEPT – Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam dipilih sebagai Presiden republik itu, selepas memperoleh kemenangan besar melalui pilihan raya semalam.
Shanmugaratnam, 66, menang dalam undian yang dipertandingkan buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad.
Beliau memenangi 70.4 peratus undi menewaskan dua pencabar bagi menjawat kedudukan itu untuk penggal selama enam tahun.
Shanmugaratnam yang juga bekas Menteri Kewangan, berkata beliau percaya undi rakyat Singapura merupakan cerminan keyakinan mereka.
Beliau turut mengakui perubahan dan perkembangan di Singapura, terutama kepelbagaian budaya serta percaya pilihan raya itu dilihat sebagai satu lagi peristiwa penting dalam proses evolusi terbabit.
“Ia adalah undian optimis untuk masa depan dan kita boleh maju bersama serta menyokong satu sama lain sebagai rakyat Singapura.
“Saya menerima sokongan undi ini dengan perasaan rendah hati. Ia bukan sekadar undi untuk saya, ia adalah undi untuk masa depan Singapura,” katanya dalam ucapan sebelum keputusan rasmi diumumkan.
Sementara itu, saingan utamanya, iaitu bekas Ketua Pegawai Pelaburan GIC, dana kekayaan Singapura, yang menguruskan rizab asing negara itu, Ng Kok Song, hanya memenangi 15.7 peratus undi.
Beliau yang ditemui pemberita akur dengan keputusan terbabit. – AFP
