Shapovalov disahkan positif COVID-19 di Sydney

SYDNEY, 26 DIS – Pemain nombor 14 dunia, Denis Shapovalov telah positif COVID-19 selepas tiba di Sydney, katanya hari ini, sambil menekankan ancaman jangkitan terhadap Terbuka Australia.

Pemain berusia 22 tahun itu adalah antara pemain pertama yang memasuki Australia menjelang acara berpasukan Piala ATP dari 1 Januari, di mana dia sepatutnya bermain untuk Kanada dan dengan Grand Slam pertama tahun ini dalam tiga minggu lagi.

Menurut kenyataannya di Twitter, dia mengalami gejala ringan dan mengasingkan diri – pemain terbaharu yang bertanding di pameran Abu Dhabi bulan ini yang dijangkiti COVID-19.

“Saya ingin maklumkan kepada awda bahawa sebaik tiba di Sydney, saya disahkan positif COVID-19,” kata Shapovalov.

“Saya mengikuti semua protokol, termasuk pengasingan dan memberitahu orang yang pernah saya dekati.

“Sekarang saya mengalami simptom ringan dan tidak sabar untuk kembali ke gelanggang, apabila ia selamat untuk berbuat demikian.”

Shapovalov menentang Rafael Nadal di Abu Dhabi, dengan bintang Sepanyol itu kemudiannya juga diuji positif COVID-19, menyebabkan rancangannya untuk Terbuka Australia menjadi huru-hara. – AFP