LOS ANGELES, 28 Julai – Maria Sharapova (gambar) semalam diberikan wildcard untuk beraksi dalam Kejohanan WTA Cincinnati, kejohanan pemanasan utama bagi Terbuka AS, Grand Slam terakhir musim ini yang belum menjamin tempat bintang dari Rusia itu.
Bekas pemain nombor satu dunia itu dan pemenang gelaran Grand Slam kelima, Sharapova masih cuba menghidupkan semula kerjayanya berikutan penggantungan doping selama 15 bulan yang berakhir pada April.
Kecederaan kemudian mengetepikannya bagi persaingan Wimbledon di mana dia dijadualkan untuk beraksi dalam kelayakan selepas penganjur Terbuka Perancis enggan memberikannya wildcard.
Kejohanan Cincinnati, yang bermula dari 12-20 Ogos, juga memberikan wildcard kepada Victoria Azarenka, pemenang dua kali yang hanya kembali ke jelajah selepas percutian bersalin.
“Tambahan terhadap pemain ini menambah kepada pemain yang sudah kuat” kata pengarah kejohanan, Andre Silva.
“Kami menjangka ranking nombor satu WTA akan menjadi pertaruhan dan menambah pemain–pemain yang berkaliber ini akan menjadikan persaingan bagi merebut kedudukan teratas lebih menarik.”
Sharapova, 30, adalah juara di Cincinnati pada 2011 dengan Azarenka mendapatkan gelaran itu dua tahun kemudian.
Sharapova, sekarang di ranking 173 dunia, tidak beraksi sejak mengalami kecederaan di Rom pada Mei lalu tetapi akan kembali minggu depan di kejohanan Standford.
Dalam aksi kembalinya ke sukan itu di Stuttgart pada April lalu, dia mara ke separuh akhir.
Bagaimana pun, dia terpaksa bergantung ke atas wildcard untuk beraksi dalam kejohanan itu dengan ramai pemain merasa kritis mengenai keputusan untuk menjemputnya kerana latar belakangnya susulan penggantungan doping. – AFP