Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Awang Shareen bin Haji Jafar tidak menyangka pilihannya membawa tuah apabila beliau memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta Nissan X-Trail ePower dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kempen The Grand Giveaway Kitaran Pertama, yang berlangsung di Cawangan BIBD Kiulap, hari ini.
Kitaran pertama kempen berkenaan menyaksikan seramai 30 pemenang membawa pulang hadiah berupa baucar tunai, peralatan rumah dan produk teknologi terkini.
Daripada jumlah tersebut, 10 orang pemenang bertuah mara sebagai finalis dan berpeluang merebut hadiah utama.
Dalam pusingan akhir, Awang Shareen muncul sebagai pemenang utama dengan membawa pulang kereta Nissan X-Trail ePower, manakala Senthil Kumar Dhanapal meraih hadiah kedua berupa tiket penerbangan untuk dua orang ke Jepun.
Hadiah utama dan kedua telah disampaikan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

Hadiah bagi tiga pemenang seterusnya pula disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan 2, Dayang Hazimah ‘Izzati binti Pehin Dato Haji Adanan, manakala lima pemenang hadiah sagu hati menerima hadiah mereka daripada Pengurus Jualan BIBD, Dayang Haryantie binti Haji Metusin.
Pencapaian para pemenang ini menandakan permulaan kepada perjalanan yang menjanjikan lebih banyak pengalaman menarik dalam cabutan akan datang.
Kempen The Grand Giveaway, yang dilancarkan pada awal tahun ini, merupakan inisiatif BIBD bagi menghargai pelanggan atas kesetiaan dan penglibatan berterusan mereka dalam pelbagai produk, kemudahan dan perkhidmatan bank tersebut.
Berlangsung selama sembilan bulan sehingga 31 Januari 2026, kempen ini menawarkan hadiah bernilai lebih $300,000, termasuk kereta baharu, pengalaman pelancongan mewah, gajet elektronik, peralatan rumah dan baucar membeli-belah.
Sepanjang kempen, setiap transaksi yang layak secara automatik memberikan pelanggan peluang untuk menyertai cabutan hadiah. Dengan menggunakan produk dan perkhidmatan BIBD seperti simpanan, perbelanjaan melalui kad debit atau kredit, pembayaran bil serta penyaluran gaji, pelanggan dapat meningkatkan peluang kemenangan mereka.
Lebih banyak mereka berinteraksi dengan BIBD, lebih banyak peluang mereka kumpul, mengetengahkan komitmen bank berkenaan kepada memberikan ganjaran kepada kesetiaan melalui perbankan harian.
The Grand Giveaway juga mencerminkan dedikasi BIBD dalam menjana nilai kepada pelanggan, mempromosikan masyarakat tanpa tunai dan menyokong perniagaan tempatan.
Setiap fasa kempen turut melibatkan lebih 50 peniaga tempatan, menggambarkan peranan BIBD dalam memacu penggunaan digital dan memperkasa masyarakat.
Memandang ke hadapan, BIBD menggalakkan pelanggan untuk terus menggunakan barisan produk dan perkhidmatan komprehensifnya untuk memaksimumkan peluang mereka dalam cabutan yang akan datang.
Bank berkenaan terus komited untuk menunjukkan penghargaan kepada pelanggannya, mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kongsi kewangan yang berdedikasi untuk setiap isi rumah Brunei.

