Pelakon berdarah kacukan, Sharifah Husna enggan membuka peluang isu poligami dibincangkan dalam rumah tangga bersama suaminya yang juga pelakon, Halim Radzi.
“Saya tak mampu nak berpoligami, tapi ada juga wanita yang kuat dan boleh berpoligami. Apa yang saya nampak, kalau seseorang minta izin dengan cara baik, insya-Allah rumah tangga dapat bertahan.
“Tapi, kalau rahsiakan kahwin dua, itu bermakna aniaya isteri, jadi saya percaya rumah tangga takkan kekal lama.
“Saya tidak mahu bawa emosi berkaitan poligami ke rumah, sebab ia tidak sihat. Bagi saya, apa yang berlaku di lokasi penggambaran, sampai situ sahaja. Kenapa suami nak terkesan dengan watak dibawa.
“Saya takkan hukum suami atas perkara yang dia tidak buat. Saya pun tidak bertanya kepada suami soal poligami sebab tak mahu beri ruang topik ini dibincangkan di rumah.
“Saya tak mahu ada perbualan tidak sihat dengan suami saya,” katanya yang kini watak wanita berkongsi suami dalam drama terbaharu, Berbahagi Suami.
Berkongsi lanjut, Sharifah Husna berkata, dia sedih dan simpati melihat ada wanita berhadapan dengan isu keganasan rumah tangga, lapor BH Online.
Baginya, kebanyakan wanita yang berhadapan dengan masalah itu tiada sistem sokongan kuat untuk keluar daripada pemasalahan.
“Kita kena cari jalan untuk memberikan kesedaran bahawa wanita perlu ada pendidikan, kerjaya dan berdikari. Sebab tidak boleh bergantung hidup kepada orang lain, hanya bergantung kepada diri sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai kariernya, Sharifah Husna sudah melebarkan sayap lakonan ke Indonesia apabila tampil menerusi filem bergenre seram, Waru The Movie arahan pengarah wanita, Chiska Doppert. – Agensi