Menerima pelbagai kritikan di media sosial menjadi satu semangat buat pelakon baharu, Sharifah Rose untuk meningkatkan lagi kualiti lakonannya.
Sharifah atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 23, berkata, dia tidak pernah berkecil hati dengan komen-komen negatif yang memandang rendah bakatnya dalam bidang seni.
“Sejak awal terlibat dalam dunia seni saya sentiasa ambil iktibar dari setiap kritikan dan sebab itu saya tidak pernah ambil hati jika menerimanya.
“Penonton kritik kerana mereka melihat kekurangan saya, jadi apabila ditegur saya belajar sesuatu.
“Semua komen dan kritikan saya jadikan sebagai motivasi untuk tingkatkan lagi kualiti lakonan,” ujarnya.

Sebelum ini, pelakon yang mula dikenali dengan drama Kekasih Hati Mr Bodyguard ini dilabel ‘kayu’ dan tidak pandai berlakon. Diberi kepercayaan membawa watak utama dalam beberapa drama stesen televisyen TV3, ada yang menganggap Sharifah merupakan anak emas stesen berkenaan meskipun dia adalah pelakon baharu.
Menafikan hal tersebut, kata Sharifah, dia memikul satu tanggungjawab besar setiap kali mendapat tawaran sebagai watak utama.
“Mungkin sebab drama pertama saya dapat menarik perhatian ramai, maka saya diberi lebih banyak kepercayaan.
“Bukannya anak emas, ini adalah rezeki,” jelasnya.
Sharifah sebelum ini pernah berlakon dalam drama 3 Nota Cinta dan Kekasih Hati Mr Bodyguard.
Terbaharu, Sharifah Rose bergandingan dengan Ali Reza dalam drama berjudul Do You Love Me Captain.
“Setiap kali menerima tawaran saya anggap ia sebagai cabaran baharu untuk proses pembelajaran.
“Dalam drama kali ini walaupun Ali juga merupakan seorang pelakon baharu, saya banyak belajar daripadanya dan kami dapat pengalaman yang sangat seronok sepanjang penggambaran,” katanya. – Agensi