Penyampai radio Sharifah Shahirah tidak mahu mengambil pusing mengenai penilaian negatif yang diterima berhubung pernikahan adiknya, Sharifah Sakinah dengan pilihan hatinya.
Shahirah berkata, dia menyedari apa sahaja yang dikongsi di media sosial pasti akan menerima pelbagai reaksi orang ramai.
Kata Shahirah, keluarganya tidak pernah mengambil hati dengan komen negatif kerana menganggap ia merupakan asam garam dalam dunia hiburan.
“Biarlah mereka kecapi bahagia dan kalaulah ada yang masih mahu menghakimi itu perkara biasa. Sebab kadang-kadang, bila kita kongsikan sesuatu di media sosial, walau hanya seminit orang sudah nilai macam-macam.
“Tapi mereka tidak tahu cerita secara keseluruhan. Tidak mengapalah. Sudah jadi lumrah dunia,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Shahirah memberitahu dia menyambut baik kehadiran anggota keluarga baharu dan menyifatkan Cyril Kongo seorang lelaki baik.
“Alhamdulillah, keluarga kami sudah makin bertambah. Dia kacukan Vietnam dan Perancis.
“Bagi saya dia (Cyril) seorang yang baik dan kami menerima seadanya. Bagi saya itu yang paling diperlukan,” ujarnya.
Shahirah bagaimanapun meluahkan rasa syukur dan tumpang senang apabila melihat Sakinah kini sudah kembali bergelar isteri.
Menurutnya lagi, Cyril juga sudah bertemu dengan ibunya bagi menghormati keluarga untuk mendapatkan restu.
“Saya sudah selalu jumpa mereka, nak kongsi atau tidak saja di media sosial. Alhamdulillah, dia (Cyril) pun selalu bertemu dan beri penghormatan dengan mak untuk dapatkan restu.
“Malah Sakinah pun sudah bertemu dengan keluarga belah sana. Adik ipar pun mempunyai anak hasil perkahwinan yang terdahulu, kalau tidak silap saya sembilan orang.
“Sakinah pun cuba untuk menjadi ibu tiri yang baik, Insya-Allah. Macam saya sendiri pun ada anak tiri (perkahwinan sebelum ini). Jadi kita hanya jadi insan yang terbaik, tak perlu nak berebut apa-apa,” katanya. – Agensi


