Penyanyi dan pelakon Malaysia, Sharifah Zarina, 44, sangat tegas mengenai adab anak-anaknya dan akan menegur mereka secara terbuka jika tersalah cakap terutama di media sosial.
Menurut Harian Metro, Sharifah Zarina atau nama sebenarnya Sharifah Zarina Wan Hassan yang juga ibu kepada pempengaruh Athalia Deena Buswani, 22, menyedari generasi masa kini terlalu santai dalam percakapan mereka.
“Budak-budak sekarang ini terlalu santai sampai kadang-kadang mereka tak tahu jika salah cakap. Anak saya pun pempengaruh, kalau saya rasa salah, saya akan tegur, marah dan sangat tegas.
“Semua perkara cakap nak relaks saja. Bila saya marah, baru anak-anak saya tahu mereka salah. Mereka kena lebih dedahkan diri bercakap dengan orang dan perbaiki.
“Bukan sekadar bercakap depan telefon, di TikTok dan buat kandungan syok sendiri,” katanya ditemui pada sidang media projek Lagu Seluloid Volume 2, di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), di sini, semalam.
Penyanyi Langit Ke Tujuh itu berpesan kepada pempengaruh generasi sekarang agar lebih peka terhadap sensitiviti orang lain dan tidak sesuka hati memetik nama individu tertentu dalam kandungan mereka.
“Siapa tidak marah kalau tiba-tiba nama kena petik melainkan kalau kena petik mengenai hal yang menggembirakan dan positif. Walaupun ada berkata kita kena chill, individu yang kena petik namanya berhak marah,” katanya.
Sharifah Zarina turut mengingatkan populariti seseorang tidak kisah artis mahupun pempengaruh boleh menjunam sekelip mata.
Justeru, katanya usah bongkak disanjung tinggi kerana ia bersifat sementara. – Agensi
