Pelakon Malaysia, Sharnaaz Ahmad memilih tidak memberi sebarang komen berkaitan hal peribadi susulan beliau dan aktres Amelia Christie saling ‘unfollow’ akaun Instagram.
Memetik laporan mStar, Sharnaaz atau Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 39, sebaliknya memberitahu hubungannya dengan Amelia dalam keadaan baik selain ingin memberi fokus kepada karier dan anak lelaki tunggalnya.
Kata Sharnaaz lagi, pada usianya sekarang sudah tidak sesuai bercakap mengenai soal cinta apatah lagi tidak pernah mengiyakan atau menafikan hubungan dengan Amelia.
“Saya tak nak komen apa-apa. Fokus saya, kerjaya dan anak. Saya dan dia (Amelia) okey sahaja, berhubungan baik.
“Saya tak nak cerita apa-apa. Saya pun tak pernah mengiyakan hubungan cinta dengan dia.
“Jadi tak boleh nak cakap putus. Biarlah. Saya pun sudah nak masuk 40 tahun, nak bercerita pasal cinta macam merepek,” ujarnya.
Sharnaaz menjawab perkara itu ketika ditemui di Grand Launching Elrah Exclusive di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur pada petang kelmarin.
Dalam pada itu, pelakon Polis Evo 3 itu berkata, beliau tidak menolak jika diberi peluang kedua untuk mendirikan rumah tangga selepas ini.
Bagaimanapun, katanya, perkahwinan bukanlah keutamaan kerana beliau mahu fokus kepada anaknya iaitu Jebat Jayden.
“Biarlah dulu pasal kahwin, lagipun saya pernah berkahwin. Kalau ada rezeki jodoh saya okay.
“Kalau tiada pun okay sahaja. Saya pun dah ada anak. Fokus saya nak cari duit untuk keluarga memandangkan Jebat pun nak masuk sekolah,” katanya.
Untuk rekod Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia 6 tahun. – Agensi