
Pelakon Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa rindu dan penghargaan kepada Allahyarham bapanya iaitu Datuk Basir Ahmad kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi seorang pelakon.
Sharnaaz, 40, bagaimanapun berasa terkilan apabila tidak sempat membawa bapa menonton filem hebat lakonannya iaitu filem Blood Brothers.
Namun aktor tersebut yakin bapanya pasti berbangga dengan pencapaian yang dikecapi sehingga kini.
“Hantaran yang saya buat itu memang ditujukan kepada bapa saya. Apa yang saya ada (lakonan) hari ini, adalah semua disebabkan dia. Dia merupakan idola saya dan hari ini, saya dapat banggakan dia dengan filem ini (Blood Brothers).
“Ada juga rasa terkilan sebab tidak dapat tunjuk dekat dia filem ini, tetapi saya yakin yang sekarang ini dia sedang bahagia dan berbangga dengan saya,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Sharnaaz memberitahu dia lebih terbuka mendidik anaknya iaitu Jebat Jayden kerana tidak mahu kanak-kanak itu menerima pendedahan tidak baik menerusi media sosial. – Agensi