Pelakon Sharnaaz Ahmad didakwa di Mahkamah Majistrate atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan pada tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistrate Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa pada 16 Jun 2022, jam 8:30 malam, ketika berada di kawasan lif sebuah kondominium dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu berusia 27 tahun.
Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam Datuk Abu Bakar Isa Rahmat memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah dengan alasan anak guamnya, Sharnaaz memberi kerjasama yang baik ketika siasatan polis dan tiada risiko untuk melarikan diri.
“Anak guam selaku Orang Kena Saman (OKS) ditangkap pada Jun 2022 dan selepas enam bulan baru dia dituduh. OKS direman selama empat hari sebelum ini dan akan menghadiri prosiding seterusnya mengikut ketetapan mahkamah.
“Sedikit latar belakang Sharnaaz iaitu seorang duda dan ada seorang anak lelaki berusia lima tahun. Dia ada hak jagaan anak bersama bekas isteri. Saya juga akan menghantar representasi kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji fakta baharu dalam kes ini,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada Jun tahun lalu, pelakon lelaki berusia pertengahan 30-an itu direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, melaporkan bahawa kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.
Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu. Pelakon terbabit yang melihat insiden datang menegur mereka sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka. – Agensi