ISTERI kepada pelakon Sharnaaz Ahmad iaitu Noornabila selamat melahirkan anak lelaki pada jam 9.01 pagi di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada Khamis lalu.
Lebih manis lagi, aktor drama Cinta Bukan Kristal ini berkongsi tarikh lahir yang sama dengan anak sulungnya itu.
Menerusi Instagram, Shaarnaz memaklumkan isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat.
Sebelum itu, aktor ini ada memuat naik ucapan terima kasih kepada isterinya yang menghadiahkan seorang putera di ulang tahun kelahirannya ke-33.
“Terima kasih di atas hadiah istimewa kepada saya sebagai seorang baba (panggilan untuk bapa),” tulisnya.

Sementara itu, pengacara Neelofa yang merupakan adik kepada Noornabila turut mengucapkan tahniah kepada kakaknya itu menerusi rakaman video di Instagram.
“Baby J selamat dilahirkan. Alhamdulillah dan tahniah kakak,” kata Neelofa.
Video tersebut memperlihatkan Noornabila sedang bersiap sedia sebelum bergerak ke bilik bersalin.
Dalam pada itu, ibunya iaitu Noorkartini turut berkongsi rakaman video detik indah berkenaan. Kartini turut menulis kapsyen meminta pengikut mendoakan semoga urusan mereka dipermudahkan dan berjalan lancar.
Anak lelaki berkenaan dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram pada pukul 9.01 pagi Khamis lalu. – Agensi