Pelakon Sharnaaz Ahmad mahu berehat seketika daripada berlakon drama pada tahun ini kerana terikat dengan persediaan membintangi filem.
Menurut pemilik nama sebenar Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, persediaan dibuatnya sekarang adalah sebagai Reza pernah dilakonkan dalam filem Polis Evo 3 pada 2023 lalu.
“Selain aktif berlakon filem, saya juga sibuk berniaga. Tapi, tahun ini saya kena selesaikan Reza (watak) yang memerlukan saya kena turun berat badan kepada 70 kilogram (kg).
“Jadi, saya perlu ambil masa kira-kira enam bulan untuk dapatkannya (berat badan ideal) dan untuk itu, saya memang tak boleh nak terima tawaran drama.
“Saya ‘prep’ (persediaan) memang lama. Sebab saya akan ambil masa enam bulan untuk ‘fit’ badan dan buat pelbagai aktiviti kecergasan kerana ia babitkan aksi,” katanya kepada Harian Metro.
Ujar Sharnaaz yang melakonkan watak Ghaz dalam filem fenomena, Blood Brothers: Bara Naga, tahap kecergasan diri penting diutamakan sebagai pelakon filem aksi.
“Untuk nak buat filem aksi, kalau tak ada ‘fitness’ memang bengkok. Jadi, saya perlukan tahap kecergasan diri saya seperti orang muda.
“Sekarang pun umur saya dah 40 tahun. Oleh itu, kalau saya mampu dapatkan macam usia 32 tahun semula, itu dah sangat best,” jelasnya. – Agensi
