Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sharnaaz dedah alami ‘kemurungan’

    Bintang filem Juvana, Sharnaaz Ahmad, 34, mendedahkan mengalami ‘kemurungan’ apabila rumah tangga dibina bersama Noor Nabila Mohd Noor diuji, setahun lalu.

    Sharnaaz yang mendirikan rumah tangga dengan kakak kepada selebriti dan pengacara popular, Neelofa pada 31 Mac 2017 itu berkata, kesan kemelut rumah tangga, dia mengalami penyusutan berat badan ketara hingga ditegur beberapa teman rapat.

    Pelakon yang menempa populariti menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Lelakimu Yang Dulu itu berkata, disebabkan ujian yang dilalui, ada juga di kalangan teman yang menjauhkan diri.

    Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur memiliki teman yang setia seperti Shukri Yahaya yang tidak pernah meninggalkannya pada saat dirinya hampir rebah.

    “Saya baru kenal siapa kawan dan lawan. Rakan masa susah memang tak ramai. Mereka yang ada hari ini adalah teman setia yang tidak pernah lari. Shukri, tidak lari meninggalkan saya. Daripada hari pertama saya ‘teruk’, dia sentiasa berada di belakang saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kedai minuman miliknya, Bubble Bee di Danau Kota, Setapak, baru-baru ini.

    Selain Shukri, dedah Sharnaaz, seorang pelakon yang sentiasa berada di sisinya ketika sedang bertarung dengan kemelut rumah tangga adalah Datuk Fizz Fairuz.

    “Fizz, seorang lagi teman yang tidak pernah menjauhkan diri. Dia tahu macam mana sengsaranya hati berdepan dengan ujian rumah tangga. Saya banyak menghabiskan masa di gimnasium sama ada pagi, tengah hari dan malam. Saya akan menghabiskan masa bersenam untuk melupakan kesakitan.

    “Saya banyak melakukan perkara yang disukai termasuk berdiet. Fizz risau dan menegur keadaan tubuh saya yang semakin kurus. Saat menghadapi ujian, saya sebenarnya lebih suka menyendiri. Dalam laman sosial, orang mungkin nampak saya gembira dan ketawa, tetapi mereka tidak tahu apa yang saya alami. – Agensi

    Sharnaaz mengaku ada juga di kalangan temannya yang menjauhkan diri daripadanya. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda