KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Sharul Nazeem Zulpakar bersedia mengadaptasi corak permainan diterapkan pengendali skuad negara, Kim Pan Gon, ketika berdepan dengan China dan Syria dalam aksi persahabatan Tier 1 di Chengdu, China, pada Rabu dan Sabtu depan.
Pemain berusia 23 tahun, yang terkenal dengan gaya agresif di posisi pertahanan itu, berkata tidak mustahil bagi beliau bermain mengikut rentak berbeza sekiranya itu yang dituntut Pan Gon.
“Saya cuba menjadi pemain yang baik sekiranya diberikan slot kesebelasan utama pada perlawanan pertama menentang Syria selain mengikut segala taktikal Pan Gon,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata saingan merebut slot kesebelasan utama pada perlawanan Tier 1 itu bukan mudah apabila nama seperti Dion Cools dan Mohd Shahrul Mohd Saad turut berada dalam senarai barisan pertahanan. – Bernama
