MANCHESTER, 4 APRIL – Luke Shaw (gambar) berkata beliau mahu menjadi sebahagian daripada ‘sesuatu yang istimewa’ di Manchester United selepas menandatangani kontrak baharu sehingga 2027, hari ini.
Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu, yang menjadi remaja termahal dalam sejarah apabila dia berpindah ke Old Trafford dari Southampton pada tahun 2014, telah dihargai selepas menjadi pemain utama untuk Erik ten Hag dalam beberapa bulan awal beliau memimpin di Old Trafford.
“Sembilan tahun yang lalu, saya menandatangani kontrak untuk kelab yang mengagumkan ini, dan saya sangat gembira untuk memanjangkan tempoh saya,” kata Shaw, yang telah membuat 249 penampilan untuk United, kepada laman web kelab itu.
“Saya telah berkembang dengan pesat sejak datang ke Manchester beberapa tahun yang lalu, sebagai individu dan pemain; saya tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di kelab seperti ini.
“Kami berada di permulaan perjalanan kami di bawah pengurus dan kakitangannya. Kami sudah berjaya pada musim ini, tetapi kami mahu lebih banyak lagi. Terdapat peluang besar untuk mencipta sesuatu yang istimewa di sini, dan saya akan memberikan segala-galanya untuk menjadi sebahagian daripada itu.”
Shaw merupakan sebahagian daripada pasukan United yang memenangi Piala Liga pada bulan Februari untuk mengakhiri kemarau enam tahun tanpa menang trofi. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P22-2a-Shaw_05042023.jpg)