Bintang pop dan penulis lirik dari Kanada, Shawn Mendes, 26, mengejutkan ramai apabila dilihat menunaikan solat Jumaat di Universiti New York (NYU) bersama rakan senegaranya, Mustafa the Poet, 28.
Menurut Harian Metro, ramai membuat spekulasi bahawa Mendes mungkin secara kebetulan ke sana untuk meluangkan masa bersama Mustafa yang juga rakan karibnya.
Namun, ramai tersentuh dengan sokongannya itu.
Menurut jemaah yang menunaikan solat di sana, Mendes dan Mustafa sangat menyenangkan, luang masa menyapa orang ramai, bersembang dengan pelajar dan sempat berswafoto selepas habis sembahyang.
Ada juga saksi mengatakan Mendes turut serta berdiri dalam barisan dan bersembahyang bersama yang lain menunjukkan hormatnya.
Foto dan video kejadian itu yang dikongsi di media sosial mendapat pelbagai reaksi.
Ramai warga siber teruja dan pada masa sama keliru.
Bagaimanapun, kehadiran Mendes ke pusat ibadat itu masih jadi tanda tanya sama ada atas dasar persahabatan saja atau niat mendalami Islam.
Ramai peminat tersentuh melihat sisi murninya itu.
Mustafa atau nama penuhnya Mustafa Ahmed popular sebagai penyanyi, penulis lagu dan penyajak asal Toronto.
Dia menempa nama menerusi sajak berhantunya dan sudah lancar albumnya berjudul Dunya. – Agensi