Wednesday, July 16, 2025
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sheila Majid anjur konsert rai legasi empat dekad

    Datuk Sheila Majid bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, melalui konsert solo berskala besar, pada 8 November depan.

    Konsert Sheila Majid 40 Years in Music itu dianjurkan sempena ulang tahun ke-40 karier Sheila dalam bidang muzik.

    Sheila atau nama sebenar, Shaheila Abdul Majid, 60, mengaku tidak pernah menyangka keputusan yang dibuat pada 1985 untuk menjadi penyanyi, bertahan hingga hari ini, menurut laporan BH Online.

    “Saya sebenarnya tidak sangka boleh menyanyi sehingga 40 tahun. Apabila saya fikir mengenainya, ingatan kembali menerpa saat saya kena minta izin bapa untuk menyanyi.

    “Tahu-tahu sudah 40 tahun saya dalam industri muzik,” katanya pada sidang media pengumuman Konsert Sheila Majid 40 Years in Music kelmarin.

    “Konsert ini adalah penanda aras baharu untuk kerjaya seni selama 40 tahun. Bukan tempoh singkat, namun, saya bersyukur masih diterima dan punya peminat yang masih setia memberi sokongan.

    “Ini juga satu penghargaan kepada ramai individu yang berada di belakang saya sehingga saya masih diterima dan dikenali generasi hari ini,” ujarnya.

    Mengenai pengalaman empat dekad dalam dunia hiburan, penyanyi lagu Sinaran itu mengakui kecintaannya terhadap dunia nyanyian membuatkan dia mampu bertahan hingga hari ini.

    “Saya gembira apabila saya dapat buat perkara yang saya minat dalam hidup. Banyak pengalaman saya dapat sejak berkecimpung dalam industri muzik. Bagaimana saya asah bakat serta berjumpa orang dan peminat. Banyak yang saya belajar. Itu yang menjadikan saya hari ini,” katanya.

    Mengulas mengenai persiapan konsert, ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu tumpuan lebih diberikan kepada memantapkan stamina.

    “Saya sudah mula buat persiapan konsert. Saya juga sentiasa bersenam, cuma kena tambah sedikitlah rutin itu.

    “Maklumlah kita pun dah berusia untuk membuat persembahan untuk tempoh tiga jam itu agak lama. Jadi, saya sudah mula buat persiapan saya,” katanya.

    Kali terakhir Sheila mementaskan konsert berskala besar adalah Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 18 Mac 2023. – Agensi

    Sheila Majid anjur konsert rai legasi empat dekad. – Gambar Instagram/Sheila Majid
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda