Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shein berdepan denda €150 juta di Perancis

    PARIS, 11 JULAI – Gergasi e-dagang Shein kemungkinan berdepan denda sebanyak €150 juta di Perancis kerana gagal mendapatkan kebenaran sewajarnya untuk menjejak pengguna dalam talian.

    Pihak berkuasa kawal selia, CNIL mendapati peruncit fesyen pantas itu telah menggunakan penjejas yang dikenali sebagai cookies bagi tujuan pengiklanan tersasar kepada pengguna tanpa kebenaran, atau menggunakan kaedah yang mengelirukan untuk mendapatkan persetujuan, bertentangan dengan peraturan di Eropah.

    Pemeriksaan pada tahun 2023 turut mendapati bahawa walaupun pengguna menolak penggunaan cookies, Shein masih terus membaca maklumat daripada penjejak tersebut.

    CNIL menyatakan bahawa memandangkan syarikat itu mempunyai sumber teknikal dan kakitangan mencukupi untuk mematuhi peraturan, tingkah laku Shein dianggap sebagai cuai.

    Walau bagaimanapun, pihak berkuasa itu turut mengesahkan Shein kini telah mematuhi peraturan berkenaan. Keputusan muktamad mengenai denda terhadap syarikat fesyen pantas tersebut dijangka dibuat dalam beberapa minggu akan datang.

    Dalam kenyataan yang dihantar kepada AFP, Shein menyifatkan jumlah denda yang dicadangkan sebagai ‘tidak setimpal’.

    “Sejak Ogos 2023, kami telah bekerjasama secara aktif dengan CNIL bagi memastikan pematuhan sepenuhnya serta menjawab semua pertanyaan yang dikemukakan,” menurut syarikat yang diasaskan di China itu. – AFP

    Logo syarikat e-dagang fesyen pantas Shein dipaparkan pada skrin telefon pintar dengan berlatang belakang laman web syarikat itu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda