PARIS, 2 OKT – Gergasi fesyen segera Asia, Shein, kelmarin mengumumkan pihaknya memilih Perancis sebagai lokasi pembukaan kedai fizikal tetap yang pertama pada November ini.
Menurut kenyataan syarikat itu, kedai pertama akan dibuka di pusat beli-belah BHV Marais di Paris, diikuti lima buah kedai di gedung Galeries Lafayette di bandar Dijon, Reims, Grenoble, Angers dan Limoges.
Langkah itu merupakan hasil kerjasama dengan kumpulan hartanah runcit Societe des Grands Magasins (SGM), yang memiliki BHV Marais serta beberapa gedung Galeries Lafayette. “Kerjasama ini lebih daripada sekadar pelancaran, ia adalah komitmen untuk menghidupkan semula pusat bandar di seluruh Perancis, memulihkan gedung serbaneka serta membuka peluang baharu bagi fesyen siap pakai Perancis,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Shein menjelaskan kedai berkenaan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan serta mewujudkan 200 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung di Perancis.
Walaupun Shein sebelum ini pernah mengadakan kedai sementara di beberapa bandar termasuk Paris, ini adalah kali pertama syarikat itu menubuhkan kedai fizikal tetap. – AFP


