Friday, February 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shein, Temu dijangka hadapi kos tinggi akibat perubahan peraturan kastam AS

    SHANGHAI, 7 FEB – Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif ke atas import dari China serta pemansuhan kelonggaran kastam dijangka memberi kesan besar kepada model perniagaan platform e-dagang Shein dan Temu, dengan pengguna berkemungkinan menanggung peningkatan kos, menurut penganalisis.

    Kedua-dua syarikat itu yang menawarkan pelbagai barangan pada harga murah menjadi fenomena global, khususnya dalam keadaan inflasi yang menjejaskan kuasa beli isi rumah di seluruh dunia.

    Shein dan Temu menghantar barangan bernilai puluhan bilion dolar setiap tahun dari rangkaian kilang mereka di China, dengan AS menjadi pasaran utama.

    Namun, Presiden AS, Donald Trump, pada hujung minggu lalu mengumumkan tambahan tarif 10 peratus ke atas semua import dari China serta memansuhkan pengecualian cukai kastam bagi barangan bernilai di bawah AS$800.

    Gambar menunjukkan aplikasi e-dagang Temu dan Shein pada telefon mudah alih di Beijing pada 5 Februari. – AFP

    Sebelum ini, pengecualian itu membolehkan pengeksport China menghantar bungkusan kecil dengan kos rendah, sekali gus mengekalkan harga murah kepada pengguna AS, kata pakar ekonomi dari Universiti Peking, Mingzhi Jimmy Xu.

    “Gangguan terhadap sistem ini akan meningkatkan kos penghantaran, yang akhirnya membawa kepada harga runcit lebih tinggi atau margin keuntungan lebih rendah – kedua-duanya boleh mengubah model perniagaan platform ini secara asas,” katanya kepada AFP.

    Keadaan bertambah tegang apabila Perkhidmatan Pos AS (USPS) pada Selasa mengumumkan penggantungan penghantaran bungkusan dari China dan Hong Kong akibat tarif tersebut, sebelum menarik balik keputusan itu keesokan harinya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda