MEXICO CITY, 6 NOV – Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, kelmarin menggesa agar gangguan seksual dijadikan jenayah di seluruh negara selepas dia diganggu di jalanan, dalam satu serangan yang menekankan bahaya yang dihadapi wanita di negara Amerika Latin itu.
Sheinbaum, 63, diserang ketika menyapa penyokong berhampiran istana presiden di Mexico City pada Selasa ketika dia sedang berjalan ke satu acara awam.
Seorang lelaki mabuk mendekatinya, meletakkan lengannya di bahu Sheinbaum dan dengan tangan yang satu lagi menyentuh pinggul dan dadanya, sambil cuba menciumnya di leher.
Seorang anggota keselamatan presiden segera menarik lelaki itu menjauh. Presiden wanita pertama Mexico itu pada mulanya kelihatan keliru dengan insiden berkenaan yang dirakamkan oleh kamera dan bahkan bersetuju untuk bergambar dengan lelaki tersebut.
“Orang ini mendekati saya dalam keadaan mabuk sepenuhnya… baru apabila saya melihat video itu kemudian saya sedar apa yang sebenar-benar berlaku,” kata Sheinbaum kelmarin.
Lelaki itu kemudiannya ditahan dan pejabat presiden mengesahkan kepada AFP bahawa individu berkenaan telah didakwa dengan ‘gangguan’, kategori jenayah yang dikuatkuasakan di ibu kota dan kira-kira 20 negeri di Mexico.
Kod gangguan itu mengharamkan kelakuan tidak senonoh, sentuhan tanpa izin dan tingkah laku tidak hormat yang menjejaskan maruah serta menimbulkan tekanan emosi.
Insiden itu menumpukan perhatian terhadap rekod keselamatan wanita yang membimbangkan di Mexico, dengan gangguan seksual dianggap perkara biasa, sementara kumpulan hak asasi memberi amaran tentang krisis femisid. – AFP

