Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shell catat untung dari harga minyak pulih

    LONDON, 29 APRIL – Royal Dutch Shell kembali meraih keuntungan dalam suku pertama ketika harga minyak pulih dengan kukuh daripada tahun sebelumnya, menurut syarikat itu hari ini.

    Kumpulan Inggeris-Belanda itu mencatatkan keuntungan bersih sekitar AS$5.7 bilion (4.7 bilion euro) dalam tiga bulan pertama tahun ini, kata Shell dalam satu kenyataan.

    Ia perbandingan dengan kerugian selepas cukai sebanyak AS$24 juta dalam suku pertama 2020 apabila pandemik koronavirus mula menghambat harga minyak mentah.

    Prestasi suku pertama tahun ini juga mendapat keuntungan daripada jualan aset bernilai AS$1.4 bilion, tambah kenyataan itu.

    “Shell telah membuat permulaan kukuh tahun ini, menjana lebih AS$8 bilion tunai dalam suku pertama,” kata ketua eksekutif Ben van Beurden.

    Gambar fail bertarikh 20 Januari 2016 menunjukkan logo Shell di luar stesen minyak Royal Dutch Shell di Hook, dekat Basingstoke. – AFP

    “Model kami…..dalam situasi baik untuk meraih keuntungan daripada permintaan yang pulih.”

    Shell mengalami kerugian bersih sebanyak AS$21.7 bilion tahun lalu ketika kilang-kilang ditutup dengan pesawat-pesawat tidak beroperasi.

    Akibatnya, ia memutuskan untuk mengurangkan lebih 10 peratus tenaga kerja globalnya atau 9,000 pekerjaan.

    Kerugiannya itu dan pengurangan pekerjaan mencerminkan situasi sama di tempat-tempat lain dalam sektor tenaga tahun lalu.

    Selepas sekatan pergerakan mula dilaksanakan sehingga penghujung suku pertama tahun 2020, harga minyak menjunam, sehingga bertukar negatif.

    Bagaimanapun harga kemudian melantun tinggi dengan perdagangan semasa kontrak tanda aras minyak Brent North Sea bernilai sekitar AS$67 setong.

    Pesaing Shell, BP juga pulih pada suku pertama, mengumumkan keuntungan bersih minggu ini sekitar AS$4.7 bilion, berbandingan dengan kerugian AS$4.4 bilion pada tahun sebelumnya.

    Sementara itu, Total Perancis merekodkan AS$3.3 bilion keuntungan bersih dalam suku pertama yang lebih tinggi daripada tahap sebelum pandemik.

    Ekoran keputusan tersebut hari ini, saham-saham Shell meningkat sekitar 10 peratus pada awal perniagaan London. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda