PARIS, 1 JULAI – Syarikat tenaga Perancis, EDF berkata hari ini satu usaha sama bersama firma Inggeris-Belanda, Shell akan membina kemudahan ‘kincir angin paling berkuasa’ di Amerika Syarikat di luar pantai New Jersey.
Kemudahan berkuasa 1.5 gigawatt itu akan membekalkan tenaga kepada 700,000 buah rumah setiap tahun, kata EDF dalam satu kenyataan.
Pembinaannya akan bermula pada tahun 2024. Kincir angin itu akan terletak 16 hingga 32km luar pantai New Jersey.
Ia akan dibina oleh Atlantic Shores Offshore Wind, usaha sama 50-50 antara Shell dan EDF, selepas projek itu diberikan oleh Lembaga Utiliti Awam New Jersey.
“Kincir angin luar pesisir ini akan menjadi salah satu kemudahan paling berpengaruh di Amerika Syarikat,” kata EDF.
Presiden AS, Joe Biden telah menetapkan sasaran sebanyak 30 gigawatt tenaga angin luar pesisir menjelang 2030. – AFP