LONDON, 30 SEPT – Royal Dutch Shell akan mengurangkan 9,000 pekerja atau lebih 10 peratus daripada tenaga kerja globalnya, kata syarikat minyak hari ini tatkala pandemik koronavirus menjejas permintaan minyak dan harga.
Kumpulan Anglo-Dutch itu akan mengurangkan di antara 7,000 dan 9,000 jawatan menjelang akhir tahun 2022, termasuk 1,500 kakitangan yang telah bersetuju untuk menjadi pekerja lebihan pada tahun ini, katanya dalam satu kenyataan.
“Ia adalah proses yang amat sukar. Adalah menyakitkan mengetahui anda akan berakhir mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa rakan sekerja,” kata ketua eksekutif Shell Ben van Beurden, yang menyelia 80,000 kakitangan di lebih 70 negara.
“Namun kami melakukannya disebabkan kami terpaksa, disebabkan ia adalah perkara yang betul dilakukan demi masa depan syarikat.
“Kami perlu menjadi organisasi lebih sederhana, lebih tersusun, lebih kompetitif yang lebih aktif dan berupaya memenuhi permintaan pelanggan,” tambah beliau.
Virus telah menjejaskan seluruh sektor tenaga, dengan pesaing Shell BP mengurangkan kira-kira 10,000 pekerjaan atau 15 peratus daripada kakitangannya.
Shell hari ini menambah ia berhasrat menjimat di antara AS$2 bilion dan AS$2.5 bilion tahunan dengan mengurangkan kapasiti penapisan.
Shell pada Julai berkata pengurangan pekerja dirancang selepas mencatat kerugian suku kedua berjumlah AS$18.1 bilion. – AFP