Shell pindah ke UK

THE HAGUE, 15 NOV – Kerajaan Belanda berkata hari ini ia ‘satu kejutan tidak menyenangkan’ selepas syarikat gergasi tenaga Shell mengumumkan rancangannya untuk memindahkan ibu pejabat firma itu ke Britain.

Shell berkata ia merancang untuk menukar kediaman cukainya dan ketua eksekutif dari Netherlands ke United Kingdom (UK) dan menggugurkan Royal Dutch dari namanya selepas 130 tahun, dalam satu rombakan besar.

Kementerian hal ehwal ekonomi Belanda berkata firma itu ‘telah memaklumkan kabinet mengenai hasratnya untuk memindahkan ibu pejabatnya ke UK’.

“Kami berasa tidak senang dengan kejutan ini. Kabinet amat kesal dengan tujuan tersebut,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Step Blok dalam satu kenyataan dalam Twitter.

“Kami sedang dalam rundingan bersama Shell tentang implikasi langkah tersebut bagi pekerjaan, keputusan pelaburan penting dan kemapanannya. Ia adalah sangat penting,” tambah Blok.

Gambar bertarikh 15 November menunjukkan luaran syarikat penapisan minyak dan gas Shell di Pernis, Rotterdam. – AFP

“Shell telah meyakinkan kami bahawa kepentingan kakitangan berhubung keputusan itu akan dihadkan kepada penempatan semula jawatan lembaga dan eksekutif dari Netherlands ke UK.”

Rancangan Shell untuk menamatkan struktur Inggeris-Belanda menyusuli beberapa rintangan di Netherlands beberapa bulan kebelakangan ini.

Mahkamah Belanda mengarahkan Shell pada April lalu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, yang merupakan satu kejayaan besar bagi aktivis iklim.

Shell perlu mengurangkan pelepasan karbonnya sekitar 45 peratus menjelang tahun 2030 ketika ia menyumbang kepada punca perubahan iklim yang ‘teruk’, menurut keputusan mahkamah di The Hague.

Dana pencen Belanda terbesar, ABP, kemudian mengumumkan pada Oktober yang ia akan berhenti melabur dalam syarikat-syarikat bahan bakar api termasuk Shell. – AFP