LONDON, 26 April – Syarikat minyak Royal Dutch Shell berkata hari ini keuntungan melonjak sebanyak dua pertiga dalam suku pertama 2018, didorong oleh pemulihan harga minyak mentah dan gas.
Pendapatan selepas cukai, atau keuntungan bersih, naik 67 peratus kepada hampir AS$5.9 bilion dalam tiga bulan sehingga Mac, berbanding dengan kira-kira AS$3.5 bilion setahun sebelumnya, kata syarikat yang disenaraikan di London itu dalam satu kenyataan keputusan.
“Pendapatan Shell yang kukuh pada suku ini disokong oleh harga minyak dan gas yang lebih tinggi, pertumbuhan berterusan dan prestasi amat baik dalam perniagaan gas kami, serta keuntungan yang lebih tinggi dalam perniagaan pengeluaran,” kata ketua eksekutif Ben van Beurden.
Kartel OPEC dan Rusia mencapai satu perjanjian pada akhir 2016 untuk mengurangkan pengeluaran bagi mengelakkan kemelesetan global yang telah menyebabkan harga jatuh mendadak.
Perjanjian itu, yang dijangka tamat tempohnya pada akhir tahun ini, telah membantu merangsang harga minyak kepada lebih AS$70 satu tong daripada kurang AS$30 pada awal 2016.
Pemulihan itu juga telah dirangsang oleh ketegangan geopolitik, ugutan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan semula sekatan ke atas Iran dan masalah pengeluaran di Venezuela, Nigeria dan Libya. – AFP