Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT- Negara Brunei Darussalam menegaskan semula komitmennya terhadap penggunaan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman.
Melalui kerjasama strategik dan penglibatan berterusan dengan rakan kongsi antarabangsa, Brunei telah membangunkan pemahaman yang lebih jelas mengenai kedudukan semasanya, cabaran yang dihadapi serta tindakan yang diperlukan bagi kemajuan yang berterusan.
Komitmen itu diketengahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Haji Muhsin bin Haji Ahmad, selaku ketua delegasi Brunei dalam Kenyataan Negara semasa Perbahasan Umum Sesi Tetap ke-69 Persidangan Agung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), yang berlangsung di Pusat Antarabangsa Vienna, Austria pada 15 hingga 19 September lalu.
Dalam kenyataan SHENA, hari ini, Haji Muhsin telah menggariskan tiga perkara utama bagi mengekalkan serta memperkukuhkan momentum pembangunan Brunei.
Pertama, beliau menekankan kepentingan bimbingan berterusan dan bantuan teknikal pada peringkat kematangan Brunei.



Dalam hal itu, beliau mengakui peranan penting IAEA dalam membina infrastruktur kawal selia dan mengukuhkan komitmen negara seperti dedikasi politik Brunei terhadap Tatakelakuan IAEA mengenai Keselamatan dan Sekuriti Sumber Radioaktif, dokumen tambahannya serta penyertaan aktif negara dalam Rangkaian Perlindungan Asia-Pasifik yang menyumbang kepada pengukuhan rejim tanpa percambahan global.
Kedua, kepentingan menggerakkan sumber bagi mengekalkan kemajuan dan menangani keutamaan yang baru muncul telah diketengahkan. Penyertaan Brunei baru-baru ini, dalam Program Pembangunan Infrastruktur Pengawalseliaan (RIDP) untuk Asia dan Pasifik, di samping penyertaan aktif dalam Rangkaian Keselamatan Nuklear Asia dan ASEANTOM.
Penglibatan sedemikian, jelasnya, telah memastikan kesinambungan dan pertumbuhan, terutama dalam memajukan keutamaan negara seperti kesiapsiagaan, tindak balas kecemasan serta memuktamadkan Rancangan Kelestarian Keselamatan Nuklear Bersepadu.
Haji Muhsin juga menekankan, aplikasi keamanan sains dan teknologi nuklear adalah penting dalam agenda Pembangunan Negara Brunei Darussalam. Pencapaian penting di bawah Program Kerjasama Teknikal IAEA termasuk pentauliahan Sistem Radiasi Alam Sekitar Amaran Awal yang pertama di negara serta penubuhan Makmal Perkhidmatan Dosimetri Radiasi sulungnya.
Memandang ke hadapan, Brunei akan terus meneroka potensi aplikasi nuklear dalam bidang kesihatan, pertanian dan tenaga dengan sokongan berterusan IAEA.
Sempena persidangan berkenaan, delegasi negara turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Jabatan Tenaga Atom Malaysia bagi meneroka peluang usaha sama untuk meningkatkan kapasiti pengawalseliaan dan menyokong inisiatif serantau dalam keselamatan, sekuriti dan perlindungan nuklear.
Di samping itu, delegasi negara juga berbincang bersama wakil dari Jabatan Kerjasama Teknikal IAEA untuk menilai perkembangan projek yang sedang dijalankan yang memudahkan promosi aplikasi nuklear di Brunei Darussalam.
Sesi Persidangan Agung diakhiri dengan meluluskan beberapa resolusi yang menekankan komitmen untuk mengekalkan piawaian tertinggi keselamatan. Resolusi itu bertujuan untuk mengukuhkan kepercayaan antarabangsa serta meningkatkan keberkesanan rejim bukan percambahan global.

