Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Visi, misi dan objektif strategik Pelan Induk Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), akan menjadi panduan utama bagi pembangunan dan perancangan sumber OSH untuk tempoh dekad yang akan datang.
Dengan memperkukuh piawai-an OSH, kita membuat pelaburan langsung dalam kemakmuran dan daya tahan jangka panjang negara dalam dua cara kritikal iaitu melalui peningkatan kualiti hidup serta memupuk ekonomi yang mampan dan pelbagai.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Haji Muhsin bin Haji Ahmad dalam ucapannya pada Bengkel Pembangunan Pelan Induk Kebangsaan OSH yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.
Bengkel anjuran Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selama dua hari dan berakhir 19 November itu menghimpunkan para pegawai kanan kerajaan, wakil majikan dan persatuan pekerja dalam menzahirkan komitmen Brunei untuk memperkukuh sistem OSH kebangsaan melalui kerjasama tripartit yang inklusif.
Haji Mushin menyatakan kecemerlangan dalam OSH akan dan boleh menunjukkan bahawa negara merupakan tempat tinggal, tempat bekerja serta menjalankan perniagaan yang bertanggungjawab dan diingini.


Para peserta turut dikongsi dengan draf muktamad Dasar Kebangsaan OSH dan kemajuan terkini mengenai Profil Kebangsaan OSH, yang kedua-duanya akan dimuktamadkan sebagai instrumen utama yang menyokong pelaksanaan pelan berkenaan.
Misi pakar itu juga meneroka lebih lanjut mekanisme untuk kerjasama tripartit yang berkesan antara kerajaan, majikan dan pekerja bagi memajukan agenda kebangsaan OSH.
Kerjasama erat antara rakan kongsi sosial ini akan memainkan peranan penting dalam memantau pelaksanaan, memastikan akauntabiliti, serta memupuk penambahbaikan berterusan dalam piawaian keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Bengkel itu merupakan kesinambungan kerjasama berterusan SHENA dengan ILO berikutan bengkel 2024 yang diadakan bersama misi kepakaran ILO, dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan pelaksanaan Konvensyen ILO No. 187, Rangka Kerja Promosi untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, yang telah diratifikasi oleh Negara Brunei Darussalam pada 2024.
Sepanjang sesi itu, para peserta terlibat dalam sesi perbincangan bersama Pakar Kanan OSH ILO, Dr Yuka Ujita, di mana bidang keutamaan bagi tindakan kebangsaan telah dikenal pasti, termasuk pemantauan berasaskan data, pembangunan kompetensi serta pengintegrasian amalan OSH dalam rangka kerja pembangunan negara.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan dengan SHENA dan ILO, satu mesyuarat semakan kemajuan akan dijadualkan pada pertengahan 2026 untuk menilai pelaksanaan fasa pertama Pelan Induk Kebangsaan OSH.
Ia merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh tadbir urus OSH dan menyelaraskan usaha Brunei dengan amalan terbaik antarabangsa.
