Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Bagi mempromosi dan mengukuhkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di negara ini, Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) telah menganjurkan Forum Kumpulan Industri Brunei (BIG), hari ini.
Selain usaha berterusan untuk menjadikan negara ini tempat yang selamat untuk bekerja dan didiami, forum BIG di Bangunan Pejabat Perdana Menteri itu juga diadakan bagi menyediakan platform interaktif bagi kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan.
Setiausaha Tetap (Tenaga) di Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI), Haji Azhar bin Haji Yahya dalam ucapannya menekankan bahawa kerajaan komited untuk memacu, mengukuhkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara.
Menurut beliau lagi, Brunei kini mempunyai SHENA yang diberi mandat di bawah Perintah SHENA 2018 untuk melaksanakan undang-undang dan peraturan berkaitan keselamatan, kesihatan, alam sekitar dan radiasi di semua sektor industri dan bukan industri termasuk institusi pendidikan, premis kerajaan dan komersial selaras dengan aspirasi negara dalam wawasan 2035.
Semasa forum berkenaan, turut dikongsikan informasi mengenai SHENA sebagai sebuah organisasi, pengenalan kepada Garis Panduan Selamat Penggunaan Perancah, operasi kren, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta latihan dan pembaharuan perundangan.
Selain itu, ia turut berkongsi maklumat tentang amalan terbaik, perubahan perundangan dan perkara yang dikhuatiri akibat insiden baru-baru ini yang memberi kesan kepada industri.
Dalam pada itu, SHENA juga menyentuh Perintah Perlindungan Sinaran 2018 (RPO) dan keperluan bagi pemilik aktiviti untuk mematuhi keperluan perundangannya selain memberi peluang kepada pihak yang berkepentingan untuk meningkatkan penjelasan dan mengenal pasti penjajaran khusus pelbagai inisiatif yang akan datang.
Forum yang dilihat mempunyai kesan positif ini akan diteruskan sebagai cara untuk melibatkan mereka yang berkepentingan dan sokongan semua pihak pada masa depan demi mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat.
Butiran forum dan pembentangan boleh diakses di laman web SHENA di www.shena.gov.bn. Sebarang pertanyaan atau penjelasan lanjut sila layari laman web SHENA atau hubungi 2382000 atau e-mel di info@shena.gov.bn.

