Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (Safety, Health and Environment National Authority – SHENA) baru-baru ini telah mengeluarkan Notis Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (Workplace Safety and Health Notice – WSHN).
WSHN yang bertajuk “Safe Operation of Passenger and Cargo Lifts” itu menekankan tanggungjawab undang-undang bagi pemilik-pemilik lif serta pihak lain seperti prinsipal, penghuni, majikan dan pihak yang bertanggungjawab untuk pengendalian mana-mana lif secara selamat di tempat kerja yang digunakan untuk membawa barang atau orang seperti yang dikehendaki di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
SHENA dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini telah mengongsikan, satu kemalangan telah berlaku pada April tahun ini dan telah mengakibatkan kematian, di mana apabila seorang pekerja telah jatuh dari ketinggian kira-kira 4 meter bersama lif kargo buatan sendiri bersama muatannya.
Manakala kejadian serupa berlaku pada tahun 2020 ketika seorang pekerja memuat barang ke dalam lif kargo buatan sendiri terjatuh dan mengakibatkan kematian, yang mana kemalangan itu disebabkan oleh kabel tali dawai lif terputus.
Memasang dan menggunakan lif buatan sendiri di tempat kerja membawa risiko dan bahaya yang serius disebabkan oleh kekurangan integriti struktur dan boleh rosak pada bila-bila masa mengakibatkan kemalangan seperti kecederaan dan kematian.
Lif pada amnya direka mengikut piawaian antarabangsa seperti EN81-20 dan EN81-50 atau sebanding dengannya, dan dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri keselamatan seperti pelbagai tali angkat/ rantai angkat, brek keselamatan, sensor pintu, peranti menutup pintu, ciri-ciri pemindahan kecemasan, lampu kecemasan, tenaga elektrik kecemasan dan sistem kecemasan kebakaran, serta ciri-ciri keselamatan lain yang dipertimbangkan.
Ke arah itu, pihak SHENA akan menjalankan pemeriksaan dan lawatan pemantauan ke tempat kerja di seluruh negara untuk mengesahkan pematuhan kepada Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian akan diambil terhadap mana-mana ketidakpatuhan.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai operasi lif, sila layari laman sesawang SHENA (www.shena.gov.bn) dan gunakan fungsi “General Enquiries” atau hubungi pejabat SHENA di talian +673 238 2000 pada waktu pejabat.
Pihak Prinsipal, Majikan dan Orang Yang Sedang Bekerja di Tempat Kerja bolehlah mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesihatan tempat kerja termasuk rujukan untuk menyokong pematuhan kepada Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009 dan peraturan-peraturan di bawahnya dengan melayari laman sesawang SHENA: www.shena.gov.bn.


