BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Berikutan kematian berkaitan kerja dalam industri pada 2019, Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) menyeru kerjasama semua syarikat, pekerja dan majikan untuk mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan mereka yang terlibat dalam aktiviti kerjaya yang berpotensi menyebabkan kecederaan.
Selain itu, mereka juga diseru supaya menilai semula amalan-amalan dan prosedur kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) di tapak kerja masing-masing.
SHENA membuat seruan ini dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, di mana SHENA turut memaklumkan bahawa mereka telah memulakan lawatan pemantauan mengejut ke tempat-tempat kerja di seluruh negara dan akan terus melakukannya bagi mengesahkan pematuhan keperluan undang-undang HSE di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009.
Dalam kenyataan itu, SHENA turut memberi peringatan bahawa tindakan-tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat-syarikat yang gagal mematuhi.
Menurut kenyataan, dalam menjalankan pemantauan, para pemeriksa SHENA akan dikenali pasti menerusi ves kerja dan kad pengenalan SHENA.
Di samping itu, SHENA juga telah mengeluarkan beberapa Nota Panduan Industri (IGN) mengenai operasi mengangkat, keselamatan dan kesihatan tempat kerja di tapak-tapak pembinaan, panduan bagi ruang tertutup serta panduan bagi penggunaan selamat perencah yang boleh didapati di laman sesawang www.shena.gov.bn.