Saturday, December 21, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    SHENA tekankan keselamatan di tempat kerja

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 DIS – Berdasarkan data terkini berkaitan kemalangan di tempat kerja, seramai 79 orang pekerja telah kehilangan nyawa sejak 2013 dengan hampir 50 peratus daripadanya disebabkan oleh jatuh dari tempat tinggi.

    Pada 2024 sahaja, seramai empat orang pekerja telah kehilangan nyawa akibat jatuh dari tempat tinggi.

    Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dalam kenyataannya di sini, menyatakan data yang membimbangkan itu, menekankan keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang lebih tegas secepat mungkin, khususnya bagi sektor industri yang berisiko tinggi sperti pembinaan di mana jatuh dari tempat tinggi kekal menjadi penyebab utama kematian.

    SHENA menasihatkan semua majikan, penghuni, prinsipal dan individu yang bekerja sendiri untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat di tempat kerja bagi mencegah kematian atau kecederaan yang berkaitan dengan jatuh dari tempat tinggi.

    Kemalangan-kemalangan ini sering berlaku, tegas SHENA, ketika bekerja di atas tangga, perancah, atap/bumbung atau lif buatan sendiri, yang mana langkah-langkah keselamatan sering kali tidak mencukupi.

    Gambar Canva

    SHENA juga menekankan supaya semua majikan, penghuni dan prinsipal mengambil tindakan segera dalam melaksanakan amalan kerja selamat yang komprehensif bagi memastikan pekerja mereka daripada risiko kematian akibat jatuh dari tempat tinggi.

    Ia termasuk memastikan bahawa semua pekerja telah menerima latihan mencukupi berkaitan pekerjaan di tempat tinggi yang selamat, menggunakan peralatan yang sesuai sepert tangga dan perancah serta menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul.

    Selain itu, penilaian risiko harus dilakukan dengan teliti sebelum memulakan mana-mana pekerjaan di tempat tinggi dan memastikan adanya sistem perlindungan jatuh yang berkesan seperti pemasangan pagar keselamatan dan jaring-jaring keselamatan.

    SHENA turut menekankan kepentingan bagi tempat-tempat kerja untuk mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, Penggal 277 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.

    Tempat-tempat kerja mestilah memenuhi keperluan keselamatan undang-undang serta menggalakkan dan mengamalkan budaya keselamatang yang kuat. Dalam persekitaran yang sebegini, pemberdayaan pekerja untuk mengambil bahagian secara aktif dalam inisia-tif keselamatan dan melaporkan keadaan atau amalan yang tidak selamat tanpa rasa takut akan tindakan balas hendaklah digalakkan.

    Selain itu, Self-Assessmenr Checklist: Work at Height, juga telah dikeluarkan oleh SHENA pada awal 2024 untuk kegunaan dan rujukan tempat-tempat kerja di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda