Oleh Ak Zaki Kasharan
TUTONG, 23 MEI – Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah meneruskan lagi jerayawara Bulan Keselamatan di Daerah Tutong berikutan kejayaan acara sebelumnya di Daerah Temburong baru-baru ini.
Jerayawara tersebut termasuklah pameran, siri ceramah dan permainan interaktif yang diadakan di Dewan Kemasyarakan Serambangun.
Acara tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, institusi pengajian tinggi, dan sekolah-sekolah.
Beberapa agensi yang turut serta dalam pameran itu termasuklah Sekretariat MPEC, JobCentre Brunei, Centre for Lifelong Learning (C3L), Lifelong Learning (L3) Centre, Pusat Promosi Kesihatan dan EX-TG Zones Consultant & Services.
Majlis perasmian jerayawara tersebut dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Manakala SHENA diwakili oleh Pengarah Bahagian Keselamatan Proses, Haji Ya’akub bin Haji Yusof.
Awang Mohammad Sofian turut diberi peluang untuk melawat semua pameran yang terlibat dalam jerayawara tersebut dan diterangkan tentang peranan serta fungsi masing-masing oleh perwakilan agensi yang terlibat.
Acara diakhiri dengan pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah kepada pemenang Play & Win, iaitu Dayang Zulainah @ Syazanah Darwisyah binti Haji Mohd Suhaini, Awang Muhammad Juryandie bin Abdullah dan Dayang Siti Rosnursuriani binti Abdullah Kamchi.