SHENZHEN, 24 FEB – Hab teknologi di selatan China, Shenzhen, akan melancarkan dana industri bernilai 10 bilion yuan (AS$1.39 bilion) untuk menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan robotik, dengan memfokuskan pada perisian AI dan perkakasan, menurut pihak berkuasa tempatan kelmarin. Dana itu merupakan sebahagian daripada usaha Shenzhen untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat inovasi AI global.
Pegawai bandar mengumumkan rancangan tersebut dalam satu sidang media, termasuk peruntukan tambahan sebanyak 4.5 bilion yuan tahun ini.
Dana itu akan menampung sehingga 60 peratus kos kuasa pengkomputeran bagi perniagaan, dengan had maksimum 10 juta yuan bagi setiap syarikat, menerusi baucar dan subsidi.Impian AI Shenzhen melangkaui sokongan kewangan.
Selain bantuan kewangan, Shenzhen turut merancang untuk memperluaskan pangkalan aplikasi AI dengan 100 lagi senario baharu pada 2025, memberi tumpuan kepada sektor seperti kebersihan bandar, tindak balas kecemasan dan penjagaan kesihatan. Ini melengkapkan hampir 200 senario AI yang telah diperkenalkan di seluruh bandar.
Bandar itu berusaha membangunkan ekosistem inovasi yang sistematik, lengkap dan kolaboratif, mempercepatkan pembangunan pusat industri serta inovasi teknologi bertaraf global, sekali gus menjadikan Shenzhen sebagai kota inovasi terkemuka dunia. – Xinhua
