Perkara pertama ingin dilakukan pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir adalah bertemu dengan ibu tersayang.
Biarpun jarak kediaman tidak berjauhan, tetapi disebabkan jadual kerja terlalu sibuk sehingga sehari sebelum PKP dikuat kuasa, Sherry tidak berkesempatan pulang menjenguk ibunya.
Katanya, dia baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Aku Benci Kpop, sehari sebelum PKP dilaksana.
“Saya ingin pulang berjumpa ibu. Terlalu rindu mahu menatap dan memeluk ibu, selepas lebih sebulan tak berjumpa sejak PKP.
“Walaupun terlalu rindukan keluarga, tetapi saya tetap akur dengan perintah kerajaan,” katanya kepada media.

Sheery berkata, dia masih berada di lokasi penggambaran sehari sebelum PKP.
“Saya tak berani pulang ke rumah keluarga kerana tidak mahu membawa virus. Maklumlah, saya bergaul dengan ramai orang di lokasi penggambaran, jadi tak tahu selamat atau tidak.
“Selain mahu berjumpa ibu, saya tidak sabar mencari makanan yang lazat. Saya masak sendiri sejak tempoh berkurung di rumah.
“Saya akui tidak begitu hebat di dapur, tetapi cukup mengisi perut sendiri,” katanya pada sidang video Sesi Taklimat Media Setulus Ikhlas 2020 anjuran TV3. Sherry akan muncul menerusi program Aroma Tradisi, jam 11:30 pagi, setiap Sabtu di TV3.
Sherry berkata, dia banyak meluangkan masa dengan melakukan aktiviti berfaedah sepanjang tempoh berehat.
“Saya mempunyai impian mengisi jiwa dengan ilmu kerohanian. Namun, hasrat sering kali tertangguh kerana kesibukan tugas. Bagaimanapun, kini, saya tidak mempunyai alasan lagi memandangkan semua kerja yang dipersetujui ditangguhkan.
“Keinginan memperbaiki diri sentiasa ada, tetapi kesibukan kerja menjadi alasan dan mengekang niat. Saya gunakan tempoh PKP untuk membersihkan jiwa dan menenangkan fikiran.
“Saya cuba belajar dan menuntut ilmu memperbaiki diri lagi. Saya bersyukur saya dapat mengikuti kelas usrah secara atas talian dan mempertingkatkan bacaan hal yang sering dianggap remeh,” katanya. – Agensi