SHERRY Ibrahim, 35, berazam lebih serius dalam bidang perniagaan dan tidak akan sesekali bersikap lepas tangan.
Sherry juga sanggup mengetepikan kerjaya lakonan buat seketika demi mengukuhkan perniagaan diusahakan.
Sherry berkata, dia perlu ikhlas dan fokus bagi memastikan perniagaannya terus berkembang.
“Saya tidak mahu main-main dalam hal ini. Untuk apa juga produk yang diusahakan, saya sendiri akan turun padang bagi menyelesaikan masalah terutama dengan pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Sherry juga menolak dan tidak berminat menggunakan pendekatan publisiti murahan sebagai strategi pemasaran produknya.

Baginya, fokus kepada penambahbaikan kualiti produk lebih penting dan seharusnya menjadi keutamaan setiap peniaga.
“Saya akui memang ramai menggunakan strategi tular sebagai satu daripada cara untuk memperkenalkan sekali gus melariskan produk.
“Bagaimanapun, saya percaya jika kita buat sesuatu perkara dengan baik pasti hasilnya juga baik. Saya juga percaya dengan kualiti produk dan strategi pemasaran yang sedia ada iaitu mendekati pelanggan dengan cara turun padang,” katanya.
Sementara itu, Sherry kini dalam proses menghasilkan single kedua selepas tampil dengan lagu Seikhlas Cinta dua tahun lalu.
Dia kini lebih memilih walaupun menerima tawaran lagu daripada beberapa komposer.
“Kali ini saya mahu lagu yang berentak riang. Pastinya saya akan mencari lagu yang benar-benar boleh memuaskan hati dan relevan untuk pendengar sekarang,” katanya.