Tuesday, July 22, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shi Yuqi juarai Terbuka Jepun

    TOKYO, 20 JULAI – Bekas pemain nombor satu dunia badminton China, Shi Yuqi menjuarai Terbuka Jepun hari ini, selepas menewaskan juara bertahan dari Perancis, Alex Lanier, 21-17, 21-15 dalam perlawanan akhir.

    Pemain Korea Selatan, An Se-young pula menundukkan Wang Zhiyi dari China 21-12, 21-10 dalam final wanita untuk merangkul gelaran keenamnya dalam tujuh kejohanan setakat tahun ini – satu pencapaian luar biasa.

    Shi telah digugurkan daripada kedudukan nombor satu dunia lelaki oleh pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn, pada bulan Jun, namun dia jelas terlalu handal buat bintang muda Lanier dalam aksi di Tokyo.

    Shi memenangi set pertama yang sengit sebelum berjaya menewaskan lawannya yang berusia 20 tahun itu dalam masa 50 minit.

    “Saya mahu bermain mengikut rentak saya sendiri, dan walaupun ketinggalan, saya tahu penting untuk terus berjuang,” kata Shi, kini pemain nombor tiga dunia yang memenangi kejuaraan ketiganya tahun ini.

    “Lawan saya masih muda dan mempunyai kekuatan fizikal yang tinggi, jadi saya tahu saya perlu kekal dengan gaya permainan saya sendiri.”

    Lanier memenangi gelaran senior utama pertamanya di Tokyo tahun lalu dan kemudian meraih kejuaraan Eropah pada April.

    Dia kini menyasarkan gelaran dunia di hadapan penyokong sendiri di Paris bulan depan, namun mengakui berasa tertekan di Tokyo sebagai juara bertahan.

    “Saya tak fikir ia memberi kesan dari segi mental, tetapi dari segi fizikal, awda bermain dengan lebih tekanan,” katanya. – AFP

    Aksi Shi Yuqi semasa menentang Alex Lanier dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki kejohanan badminton Terbuka Jepun di Gimnasium Tokyo, Tokyo pada 20 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda