Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Shiha Zikir cabar diri nyanyi lagu rap

    Sinonim dengan genre irama pop dan balada, penyanyi dan pelakon berbakat Malaysia, Shiha Zikir menyahut cabaran keluar dari zon selesa dan bakal menghiburkan peminat dengan lagu rap secara langsung.

    Dijadualkan berkongsi pentas dengan Baby Shima, Haqiem Rusli, Noki K-CLIQUE dan Afieq Shazwan menerusi Melodi Kita Live Showcase di The Great Lawn, Resorts World Awana pada 26 April ini, pemilik nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir itu mendedahkan beliau berlatih selama sebulan sebagai persiapan untuk persembahan tersebut.

    “Sebelum ini saya pernah bawakan lagu rap, tetapi hanya separuh sahaja. Kali ini memang lagu penuh, jadi agak mencabar sedikit.

    “Oleh itu, dalam tempoh sebulan ini saya berlatih dengan tim dan berharap peminat akan datang untuk beri sokongan,” katanya ketika ditemui Bernama.

    Menurut artis berusia 38 tahun itu, beliau akan mendendangkan lebih daripada enam buah lagu termasuk secara solo dan duet dengan artis lain pada konsert yang diadakan secara percuma bagi memeriahkan lagi musim perayaan ini.

    Shiha yang ditemui di Taman Tema Genting SkyWorlds pada program bertemu peminat, meluangkan masa dengan seramai 20 peminatnya di taman tema itu, yang disifatkannya sebagai satu pengalaman bermakna.

    “Shiha rasa aktiviti di tempat macam ini memang seronok dan boleh eratkan lagi hubungan antara kami.

    “Sebenarnya ada 90 orang yang daftar untuk turut serta tetapi hanya 20 orang berpeluang hadir.

    “Mungkin yang lain ada kekangan masa,” katanya yang pertama kali berpeluang melakukan aktiviti santai sedemikian dengan peminat. – Bernama

    Shiha Zikir menyahut cabaran keluar dari zon selesa dan bakal menghiburkan peminat dengan persembahan lagu rap secara langsung. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda