Tampil dengan imej berbeza dalam video teaser single baharu berjudul AEWO, penyanyi Shiha Zikir menerima pelbagai reaksi warganet.
Shiha atau nama sebenar Nurshiha Mohd Zikir, 33, berkata, rata-rata pengguna laman sosial membuat andaian tanpa mengetahui sebab sebenar dia membawa imej sedemikian.
“Bila orang tengok apa yang saya kongsikan sekarang di Instagram, ia bukan seperti imej saya sebelum ini.
“Jadi, orang dah fikir bukan-bukan. Sebab tu saya tak nak komen panjang pasal benda ni kerana bagi saya orang yang kecam ni selalunya bercakap sebelum tengok. Saya mahu warganet tengok dulu video muzik itu.
“Selepas video itu dilancarkan, segala penerimaan dan komen daripada mereka saya akan terima dengan hati yang terbuka,” katanya kepada media.

Dalam pada itu, Shiha menjelaskan tindakannya memadam semua foto sebelum ini berikutan mahu peminatnya hanya fokus kepada lagu tersebut.
Penyanyi lagu Pipiyama ini berharap lagu yang menampilkan penyanyi rap Noki dari kumpulan K-Clique akan mendapat penerimaan yang baik dari pendengar.
“Saya tak nak orang tengok benda-benda yang saya pernah kongsi sebelum ini. Saya cuma nak mereka fokus pada single baharu saya. Jadi saya harap mereka akan peka dan terima kelainan ini.
“Kenapa mereka boleh terima artis luar, tapi tidak penyanyi tempatan?” ujarnya.
Video muzik rasmi AEWO telah dilancarkan di YouTube baru-baru ini. – Agensi